top of page
01nt14seklo.transformed.jpg
pedahuluan

1.1 Sekolah

1.1.1 Definisi Sekolah

Secara umumnya, sekolah merupakan suatu institusi pendidikan yang berbentuk formal, informal mahupun nonformal dalam agensi kerajaan atau swasta bagi tujuan pendidikan dan pengajaran. Kamus Online DBP (2017) mentakrifkan sekolah sebagai suatu tempat bagi belajar dan mengajar serta tempat bagi menerima dan memberi pembelajaran. 

 

  1.1.2 Peranan Sekolah

Menurut Kamaruddin Husin (1995:33) peranan sekolah dapat dibahagikan kepada beberapa aspek iaitu sosialisasi, pendidikan dan latihan serta membentuk sahsiah murid.

 

Pertama, proses sosialisasi amatlah berguna bagi mendidik murid cara berinteraksi dengan masyarakat luar. Interaksi yang wujud antara guru dan murid serta sesama murid dengan rakan sekelas membolehkan mereka untuk mendalami peranan sosial secara efektif. Contohnya, proses interaksi di dalam kelas semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ( PdP )atau penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum.

 

Di samping itu, sekolah turut berperanan dalam mendedahkan murid dengan kemahiran teknikal selari dengan perkembangan teknologi semasa. Bahan PdP seperti Smart Classroom, Creative Animation dan Interactive Educational Games mampu melahirkan murid yang pakar dalam kemahiran Information Technology (IT) selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bagi melahirkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. 

 

Akhir sekali, sekolah bertanggungjawab untuk membentuk murid yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti. Anggota sekolah iaitu pengetua atau guru besar, guru-guru sekaligus pihak pentadbir mestilah menjalankan peranan masing-masing dalam membasmi masalah sosial dalam kalangan murid contohnya masalah buli, lepak dan ponteng kelas. 

 

1.2 Persekitaran

1.2.1 Definisi Persekitaran

Kamus Online DBP (2017) menyatakan persekitaran membawa maksud kawasan yang berada di sekeliling sesuatu tempat. Bagi tujuan kajian, persekitaran di sini dapat ditakrifkan sebagai suasana di sekeliling sekolah yang memberi kesan terhadap prestasi murid secara menyeluruh dari aspek akademik, sahsiah, jasmani serta kokurikulum. 

 

1.2.2 Peranan Persekitaran

Kecenderungan murid untuk kekal berada dalam suasana pembelajaran semasa PdP bergantung kepada persekitaran sekolah yang kondusif dan selesa. Peranan persekitaran yang utama ialah terhadap pencapaian akademik murid. Menurut Waldrip dan Fisher (2003), prestasi pembelajaran murid meningkat apabila mereka berada di dalam persekitaran kelas yang baik. Di samping itu, persekitaran yang selesa dan menarik juga meningkatkan tingkah laku positif dan menurunkan jumlah tingkah laku negatif murid. Sehubungan dengan itu, Mohd Hizwan et al. (2017) telah menyatakan bahawa persekitaran kelas yang kondusif mendorong murid untuk berfikiran kritis dan kreatif. Proses PdP yang berlangsung dalam kelas dan hubungan baik antara murid serta tenaga pengajar juga mendapat impak positif dengan adanya persekitaran yang kondusif (Ainun Rahmah et al., 2017). 

 

1.2.3  Ciri-Ciri Persekitaran Kondusif

Persekitaran amat signifikan dalam memastikan tahap kepuasan dan kecemerlangan akademik pelajar sentiasa berada pada tahap yang memuaskan. Terdapat dua jenis persekitaran kondusif di sesebuah sekolah iaitu persekitaran fizikal dan persekitaran psikososial seperti yang digambarkan dalam Rajah 1. 

MINDMAP PERSEKITARAN.PNG

© 2023 by The Pop Show. Proudly created with Wix.com

bottom of page